Belanjawan 2021 | Yang di-Pertuan Agong Nasihat Ahli Dewan Rakyat Beri Sokongan Padu

Belanjawan 2021 | Yang di-Pertuan Agong Nasihat Ahli Dewan Rakyat Beri Sokongan Padu

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat. Menerusi kenyataan rasmi Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, YBhg. Dato' Indera Ahmad Fadil bin Hj. Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menegaskan belanjawan itu amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar, serta usaha membendung ancaman COVID-19. Sehubungan itu, Al Sultan Abdullah menyeru ahli Dewan Rakyat, supaya menghormati titah nasihat baginda, menghentikan segera perbalahan politik. Sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara, supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan. Ahli Dewan Rakyat turut diingatkan sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing- masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa, ketika negara masih bergelut menghadapi ancaman COVID-19. Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra kabinet di Istana Negara. Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam, Seri Paduka Baginda berkenan menerima taklimat ringkas Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini. Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar Belanjawan 2021, memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat COVID-19. Baginda turut menzahirkan keyakinan penuh, terhadap kemampuan Tan Sri Muhyiddin menerajui kepimpinan negara, ketika Negara diuji pelbagai krisis. Sumber: ‪@BeritaRTMBES‬ #AgongKita #Belanjawan2021 #KomunikasiKita #JabatanPenerangan