Pencapaian peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 negeri Kelantan menyaksikan peningkatan membanggakan berbanding peringkat nasional. Pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) calon sekolah kerajaan menunjukkan peningkatan iaitu 2.92 mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.13 mata iaitu 2.79. Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Kelantan, Mohd Zin Halim berkata peratus lulus penuh keseluruhan bagi 3,421 calon yang menduduki peperiksaan itu juga menyaksikan peningkatan iaitu 99.36 peratus berbanding nasional, 0.81 peratus. 57 calon telah memperoleh PNGK 4.0 dan daripada jumlah tersebut, 38 calon memperolehi semua A bagi lima mata pelajaran manakala 19 calon memperolehi 4A daripada empat mata pelajaran yang diduduki. Sebanyak 45 sekolah daripada 60 sekolah kerajaan di negeri itu berjaya mencapai keputusan kelulusan 100 peratus manakala 15 sekolah lagi mencapai 91.67 peratus ke atas dan kebanyakannya adalah sekolah luar bandar.